Thursday, June 6, 2013

PENDAKI MAUT : JENAZAH SELAMAT DISEMADIKAN



Ibu Mohammad Shahrulnizam (gambar kecil), Salmah Abdullah dan ahli keluarga tidak dapat menahan sebak di sisi keranda Allahyarham ketika dibawa ke Surau AnNur Qariah Sungai Pinang, Kapar untuk disembahyangkan, malam tadi.


Shahrulnizam dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Belah, Klang

Putrajaya: Jenazah Mohamad Shahrulnizam Ahmad Nazari, 25, kakitangan Perbadanan Putrajaya (PPj) yang maut ketika menyertai ekspedisi mendaki Gunung Kala Pathar dan Everest Base Camp tiba di tanah air pada 7.15 malam tadi.

Sebaik tiba, jenazah disembahyangkan di Surau An Nur, Tanjung Syawal, Sungai Pinang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Belah, Klang.
Jenazah diiringi dua pendaki lain, Muhammad Fauzan Hassan dan Mohamad Sujairi Ishak, manakala pengurusan tertinggi PPj diketuai Naib Presiden Kanannya, Datuk Muhamad Haitamin Isah turut hadir menunggu ketibaan jenazah.


Timbalan Pengarah Kanan, Perhubungan Awam PPj, Zaharah Salamat, berkata Presiden PPj, Tan Sri Aseh Che Mat kini sedang bertugas di luar negara dan rasa terkilan kerana tidak dapat bersama menunggu ketibaan jenazah Mohamad Shahrulnizam.

Lawat keluarga

“Bagaimanapun, beliau mendoakan segala urusan berjalan lancar dan akan melawat keluarga mangsa selepas urusannya selesai,” katanya.

Katanya, Aseh akan melawat keluarga Allahyarham sebaik saja segala urusan rasmi di luar negara disempurnakan.
Zaharah berkata, PPj juga mengadakan solat hajat semalam bagi mendoakan keselamatan pendaki serta dipermudahkan segala urusan berkaitan penghantaran pulang jenazah ke tanah air.

“Satu perjumpaan diadakan bersama keluarga dan waris pendaki untuk memaklumkan status terkini berhubung keadaan semasa mereka di Lukla.

“PPj merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang prihatin dan mendoakan keselamatan pendaki PPj,” katanya.

Sementara itu di Kapar, Jenazah Mohamad Shahrulnizam selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Batu Belah di sini, malam tadi.

Rindu masakan cucu

Terdahulu, lebih 200 sanak saudara dan kenalan menyempurnakan solat jenazah di Surau AnNur Tanjung Syawal dekat sini, pada jam 9.45 malam tadi.

Sementara itu, nenek Mohamad Shahrulnizam, Fatimah Abdul Jalil, 76, berkata beliau pasti merindui masakan nasi goreng dan bihun goreng cucunya yang dibela sejak berusia tiga tahun.

“Nizam rajin masak untuk keluarga, nasi goreng, bihun goreng dan masakannya selalu sedap.

“Setiap dua minggu sekali Nizam balik cuti dari kerja untuk luangkan masa dengan nenek di kampung," katanya ketika ditemui di sini.

Ibu saudaranya, Norlilah Mat Saidi, 44, berkata anak saudaranya itu sepatutnya bertunang pada November ini kerana perancangan sudah dibuat ketika pulang mengundi pada 5 Mei lalu.

Malah, Norlilah berkata, anak saudaranya itu pernah menyatakan hasrat mencari barang hantaran di Bandung, Indonesia selepas pulang daripada mendaki Gunung Everest.

No comments:

Post a Comment