Monday, June 10, 2013

PUAS MELAYANG DI UDARA

KELAB PARAMOTOR KELANTAN

Memikirkan saja berat jentera paramotor dipikul Ros Shamimi Mohd Noor, 24, mencecah 30 kilogram (kg) setiap kali melakukan penerbangan, mampu membuatkan sesiapa mendengarnya mengeluh.

Tambah pula situasi tiada angin sewaktu memulakan penerbangan sehingga terpaksa membuat larian panjang bagi membolehkan dirinya terbang di udara, semestinya itu cabaran getir buat gadis bertubuh genit itu.

Sewaktu diminta menceritakan pembabitannya dalam sukan permotoran udara, Shamimi yang mula membuat penerbangan solo ketika 21 tahun berkata, kepuasan ketika berjaya melakukan penerbangan solo pertama membayar penat jerih sepanjang 40 jam mengikuti kursus pengendalian sukan itu.

“Mengingatkan kesusahan ketika awal latihan, membuatkan saya menghargai peluang mempelajari sukan terbang ini.“Kredibiliti sukan ini sebagai sukan permotoran udara lasak cukup diperakui, maklumlah ketika pelepasan, pelatih perlu mahir mengendali payung bersama enjin seberat 30 kg, tidak termasuk tambatan serta kelengkapan lain adalah satu beban.


“Memikirkan kepenatan serta rutin latihan memenatkan hampir saja membuat mata saya berair. Namun selepas menguasai kemahiran mengendali penerbangan, hanya Allah tahu betapa nikmatnya berada di udara.

“Dengan pemandangan serta semuanya nampak kecil membuatkan saya tenang. Secara tidak langsung, sukan paramotor membuatkan saya yakin untuk membabitkan diri dalam sukan lebih lasak,” katanya.

Dia yang juga bekas penuntut kolej swasta dalam bidang Sains Sukan berkata, biarpun sukan permotoran udara kedengaran gerun, hakikatnya adalah sebaliknya.

“Perasaan gerun itu hanya bersifat sementara kerana sewaktu latihan, pelatih didedahkan dengan ketinggian mengikut fasa. Di awal latihan, pelatih perlu mengendalikan tali daripada ketinggian dua kaki meningkat kepada 10 kaki.

“Kemudian baru pelatih diberi motor apabila mampu mengendalikan payung. Soal gayat bukan masalah besar kerana ia beransur-ansur hilang selepas beberapa kali terbang,” katanya.

Mohd Zaki Muhammad yang mula membabitkan diri awal tahun lalu pula berkata, sukan berkenaan jauh lebih selamat berbanding sukan ekstrem bermotor lain.

“Pengalaman dipukul ribut ketika latihan penerbangan sempena Karnival Astro Belia di Tumpat, Kelantan, tahun lalu, tidak akan saya lupakan.

“Mujur saya tidak panik dan mengawal payung serta motor mengikut aliran angin sehingga ribut tenang, membuatkan saya lebih peka soal keselamatan.

“Sebenarnya petua dalam sukan ini mudah. Akur arahan jurulatih serta datang sesi latihan membantu pelatih paramotor mengendalikan situasi tidak diingini.

“Alhamdulillah, sepanjang bergiat dalam sukan udara ini, saya tidak pernah mengalami kecederaan,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai penyelia tapak projek di Bachok, Kelantan berkata, biarpun kos mahal, ada opsyen lain membolehkan mereka yang tidak berkemampuan mencuba aktiviti ini.

“Kalau minat, RM35,000 bagi membeli kelengkapan paramotor pun sanggup. Payung terjun saja menelan belanja RM7,000, tidak termasuk kelengkapan lain.

“Motor ada pilihan, contohnya mendapatkan harga jauh lebih rendah di negara jiran. Di Thailand ada pembuat motor menghasilkan enjin paramotor sendiri. Malah, boleh juga dibeli enjin terpakai bagi keperluan sendiri,” katanya.

Manakala bagi Ahmad Firdaus Noordin, 18, peluang ditawarkan rakan ayah saya menjadi jurulatih paramotor ibarat ‘bulan jatuh ke riba’.

“Kalau guna duit poket sendiri manalah mampu. Mujur rakan ayahnya sanggup menawar menjadi jurulatih paramotor, membuatkan saya menerimanya.

“Mula-mula memang gayat, tetapi saya disaran supaya memandang ke depan, membuatkan perasan gayat bertukar menjadi seronok. Setelah lima bulan, saya boleh terbang sendiri,” katanya

Ditanya adakah rakannya cemburu melihat dia terbang, Ahmad Firdaus berkata, mereka memang ada keinginan tetapi perasaan takut mengatasi rasa cemburu itu.

“Memang ramai ingin mencuba dan meluahkan rasa cemburu apabila saya berada di atas. Namun sebaik dipelawa menyertai sesi latihan diadakan, mereka menolak kerana bimbang jatuh,” katanya.

Berbanding Vezane Ibrahim, 41, perasaan teruja berjaya mematikan perasaan gayat terhadap sukan bermotor.

“Kalau dengar kata-kata orang, memang sampai bila-bila pun tidak boleh terbang. Namun apabila terfikir dapat peluang berada di udara, saya menjadi semakin teruja. Oleh itu, apabila dipelawa rakan, saya terus terima.

“Mujur ada kelengkapan disediakan kelab, sekali gus membolehkan saya terbang. Kalau harapkan pendapatan untuk membeli kelengkapan, tentu saja tidak mampu,” katanya.



MENYIAPKAN kelengkapan sebelum memulakan penerbangan.


Sementara itu, Pengasas Kelab Paramotor Kelantan, Mohd Hanafi Daud berkata, berbanding sukan bermotor lain, paramotor jauh lebih selamat.

“Paramotor antara pesawat paling selamat di dunia. Dengan latihan teori, pengendalian tali, latihan enjin serta beberapa siri latihan penerbangan solo, pelatih boleh terbang bebas tanpa perlu bimbang akan jatuh.

“Kita berharap sukan ini boleh popular dan berkembang sebagaimana pengiktirafan paramotor di luar negara,” katanya.







Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/08
Oleh Nurul Husna Mahmud
HARIAN METRO

No comments:

Post a Comment